Sabtu, 19 Februari 2011

b) Menyalahi Janji

Bismillahirahmanirrahim

Jangan sekali-kali berjanji kemudian memungkirinya, sebaliknya hendaklah memperbanyakkan kebaikan tanpa diikat dengan sebarang janji. Namun jika sekiranya terpaksa juga berjanji hendaklah sentiasa berhati-hati jangan sampai janji itu tidak ditunaikan kecuali jika ada halangan yang tidak dapat dielak. Sesungguhnya memungkiri janji itu adalah sebahagian daripada tanda orang munafiq dan orang yang rendah akhlak.

Rasulullah s.a.w bersabda;
ثلاث من كن فيه فهو منافق زان صام وصلى، من اذا حدث كذب، واذا عد أخلف، واذ اؤتمن خان

Maksudnya; Tiga perkara apabila ada pada seseorang, maka ia adalah orang yang munafiq (munafiq amal bukan munafiq aqidah) walaupun ia berpuasa dan solat. Iaitu orang yang apabila bercakap ia berbohong dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila ia diamanahkan sesuatu ia akan khianat.

Biasakan dengan berkata "Insya Allah" apabila menjanjikan sesuatu, kerana belum pasti kita dapat menunaikanya.

Firman Allah yang bermaksud:
"Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu "aku akan melakukan itu esuk pagi" kecuali dengan mengatakan "insya Allah". Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah "mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku pertunjuk agar aku yang lebih dekat kebenarannya daripada ini" Al-Kahfi : 23-24

Namun diingatkan janganlah dipermain-main pula perkataan "insya Allah itu" di mana dalam keadaan sedar kita memang tidak akan menunaikan janji berkenaan. Contohnya apabila kita dipelawa ke rumah atau untuk melakukan sesuatu kita terus berkata "insya Allah" sedangkan dalam hati kita memang tidak akan melaksanakannya. Jangan pula kita dimaniskan oleh syaitan dengan alasan untuk menjaga hati sahabat. Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan