Khamis, 19 November 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Sahsiah Pendidik Menurut Al-Ghazali.

Al-Ghazali menggunakan beberapa istilah bagi guru iaitu ’alim, mu’alim, mudarris, muaddib dan juga walid. Gelaran-gelaran ini menggambarkan fungsi dan skop tanggungjawab guru. Dalam kitab ”Minhajul ’Abidin” beliau menegaskan bahawa guru adalah pembuka jalan dan pemudah sesuatu yang rumit bagi murid-murid nya.

Ketika membicarakan kepentingan dan kedudukan pendidik, beliau membuat perbandingan / analogi orang berilmu seperti orang berharta dan mereka berada dalam mana-mana daripada empat kategori;

i) orang yang menyimpan harta atau ilmu dan tidak dimanfaatkan untuk sebarang kepentingan.
ii) Orang yang menghimpun harta atau ilmu sebanyak mungkin untuk menfaat diri sendiri sehingga tidak perlu meminta.
iii) Orang yang memiliki harta atau ilmu untuk dimanfaatkan oleh orang lain.
iv) Orang yang menghimpun harta atau ilmu untuk dirinya dan dibelanja atau disebarkan untuk orang lain.

Menurut beliau orang keempat ibarat matahari yang memancarkan sinarnya kepada makhluk lain dan dirinya tetap bersinar atau umpama kasturi yang wangi lagi mewangikan sekitar.

Selasa, 13 Oktober 2009

بسم الله الرحمن الرحيم
Sudah lama tak menjengah ruangan ini apatah lagi untuk mencoret cabisan warna-warna kehidupan yang dilalui tak terlaksana, lemahnya diri. Alhamdulillah Allah izin masih menghirup ni'mat kurniaan Allah yang berbagai ini berbanding dengan saudara-saudara kita di merata tempat yang kurang bernasib baik di mana ada di antara ni'mat telah ditarik kembali oleh Allah.
Bencana di mana-mana adalah menjadi iktibar bagi kita yang tinggal, anggaplah kita yang masih ada ini diberi peluang oleh Allah untuk memohon keampunan, masih berpeluang untuk memperbaiki dan mempertingkatkan amalan menambah bekal di dunia sana. Sentiasalah mengingati bahawa setiap musibah yang berlaku adalah berpunca dari kesalahan dan kesilapan kita sendiri.

Selasa, 8 September 2009

Dijauhkan Dari Neraka

بسم الله اللرحمن الرحيم
Alhamdulillah, masa tetap berlalu tanpa curiga, mulai esuk masuklah ke lingkungan 10 hari terakhir Ramadhan. "I'tqu min an-naar" yang bermaksud dijauhkan dari neraka.
Bagaimana untuk menjauhkan diri dari neraka jika tidak beramal dengan amalan ahli syurga, bagaimana mungkin diri terhindar dari neraka jika tidak bertaubat, bagaimana mungkin tidak dicampak ke dalam neraka jika diri bergelumang dengan amalan ahli neraka.
أشهد أن لا اله الا الله أستغفر الله أسألك الجنه وأعوذ بك من النار
Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, ku mohon keampunanMu ya Allah, kumohon dariMu syurga dan aku berlindung dari neraka.
Selagi kesempatan masih ada, seringlah mengingati peringatan-peringatan yang Allah sangat menyayangi hamba-hambaNya.
Firmah Allah; Al-Haj : 49
"Katakanlah hai sekalian manusia, sesungguhnya Aku adalah Pemberi Peringatan yang terang bagi kamu"
Namun peringatan itu tidak akan berarti jika terus mengulangi kesalahan, hingga akhirnya dibiarkan oleh Allah dalam kesesatan, dan dibinasakan secara perlahan-lahan tanpa disedari.
Firman Allah; Al-Kahfi : 57-58.
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya (yang berakibat buruk bagi mereka). Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka, dan walaupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya"
"Dan Tuhanmu lah Yang Maha Pengampun lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya".
Jangan ditunggu hingga kemungkinan matahati dan fikiran tertutup.
Firman Allah; Al-Hajj : 46
"Maka apakah mereka tidak berjalan di bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dapat mengerti atau telinga yang dapat mendengar? Maka sesungguhnya bukan pandangan mata yang buta, yang buta adalah hati yang di dalam dada".
أللهم انك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

Rabu, 2 September 2009

Maghfirah Allah

بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ini masuk hari ketiga daripada 10 hari dalam pertengahan Ramadhan. 10 hari untuk memohon keampunan Allah s.w.t. Mohon lah keampunan Allah tanpa rasa malu, tanpa rasa jemu, Allah sentiasa mendengar nya. Rebutlah peluang untuk membersihkan diri kita dari segala dosa, besar atau kecil, nyata atau rahsia.
Janganlah berputus asa dari rahmat Allah, rebutlah peluang selagi masih ada, selagi nafas terhela, selagi nadi berdenyut selagi ada keinsafan di hati.
"Katakanlah (wahai Muhammad) "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada mendapat rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa (kecuali dosa syirik seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nisa ayat 4). Sesungguhnya Dia lah jua yang amat mengampun lagi amat mengasehi.
(Az-Zumar:53)
"Takutlah kamu akan apa-apa yang di hadapan kamu dan apa-apa yang di belakang kamu, supaya kamu mendapat rahmat"
(Yaasin:45)
"Dan balik kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah diri kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan"
"Dan ikutlah al-qur'an (sebaik-baik panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut sedang kamu tidak menyadari"
(Az-Zumar:54-55)
Bertaubatlah sebelum kebinasaan menjengah, sebelum segala nikmat ditarik kembali hingga kita menjadi fakir di dunia dan di akhirat.
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami tarik mereka secara beransur-ansur kepada kebinasaan dan kehancuran dengan cara yang tidak mereka ketahui. Dan Aku berikan penguluran waktu bagi mereka. Sesungguhnya rencanaKu amat teguh"
(Al-A'raf:182-183)
"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun buka semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka. Kami siksa mereka dengan sekoyong-koyong , maka ketika itu mereka terdiam berputus asa"
(Al-An'am:44)
"Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepada kamu, maka tidak ada yang menghilangkkanya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada kamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"
"Dan Dialah yang Berkuasa atas sekelian hamba-hambaNya. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"
(Al-An'am:17-18)

Rabu, 8 Julai 2009

Ukhuwah di Bumi Kenyalang

بسم الله الرحمن الرحيم
Nah kali ini nak berkongsi sedikit pengalaman menjelajah bumi Kenyalang. Dah lama diimpikan untuk ke sana namun hanya pada tanggal 27 hingga 30 Jun, baru lah diizinkan Allah untuk menjejakkan kaki ke sana.

Alhamdulillah dapat lihat dan alami betapa mesranya orang disana menyambut kehadiran kam i 3 beranak. Ada yang tawarkan kereta, ada yang tawarkan rumah dan nak jadi tour guide lagi, bahkan ada yang telahpun mengatur pelan lawatan sepanjang masa di sana. Masya Allah hebatnya ukhuwah mereka walaupun ada antara mereka yang kami belum kenal mesra lagi. Dapat dibayangkan betapa gembira nya mereka menerima kehadiran kami.

Bersama keluarga Ustaz Dr. Azhar serta ayah-bonda beliau
Ini keluarga pertama kami ziarahi, Al Fadhil Ustaz Dr. Azhar dan Isteri Dr. Saadiah yang sudi meminjamkan Myvy mereka untuk kegunaan kami sepanjang di Bumi Kenyalang ini. Rasa amat terharu di hati kami dengan ungkapan kata-kata Ustaz "apalah sangat dengan meminjamkan kereta itu jika dibandingkan dengan kemanisan ukhuwwah yang terjalin. Jazakallah, moga Allah membalasnya dengan kebaikan berlipat kali ganda.




Rumah Keluarga Haji Liman dan Hajjah Jamaah

Ini pula keluarga kedua yang kami kunjungi dan sempatlah bermalam 1 malam di rumah ini. Keluarga rakan serumah anakanda kami. Layanan mereka masyaAllah tak dapat rasanya untuk kami balas. Merekalah yang banyak bawa kami meronda dan mengenali sedikit sebanyak budaya melayu sabahan yang terkenal dengan budi bahasanya dan kemesraannya.






mesranya orang berdua tu ... gitulah orang Kuching melayan tetamu...
nak pegi jalan-jalan cari makan





window shopping kat Serikin .. nak beli ke ..

Di Serikin ni, rasa macam kat Indonesia je, apa taknya, semua penjual orang Indonesia dan kebanyakan barang dagangan kat situ dari sana. Barang-barang kat sinu berbagai-bagai dan murah la juga.







Perkampungan Budaya di Santubung


Memang berhasrat nak melawat perkampungan Budaya ni, tapi tak jadi masuk kerana terkejut dengan bayaran yang mahal, sorang rm60.00. Jadi bergambar depan pintu masuk je lah, lepas tu pusing-pusing kat Pantai Putri, Santubong.


Di rumah/'kilang' /kedai kek lapis popular di Kuching

Tak sempurna ke Serawak kalau tak tengok orang buat Kek Lapis. Kami dibawa berkunjung kesalah satu tempat Kek Lapis dibuat dan tidak ketinggalan membelinya sebagai buahtangan buat teman dan saudara di Semenanjung.






Naik perahu nak menyeberang ke Kampung Bako.



Rumah-rumah di Kampung Bako

Selamat tinggal Kampung Bako

Pengalaman sepanjang di Bumi Kenyalang ini menjadikan diri semakin mengerti makna ukhuwwah dan kasih sayang.


Jazakumullahu Khairan Kathira kepada semua yang terlibat. Budi baik kalian tidak mampu kami membalasnya. Kami sentiasa menanti kehadiran kalian ke Selatan Semenanjung.


Wallahua'lam

Rabu, 24 Jun 2009

Adab Bergurau

بسم الله الرحمن الرحيم
Gurauan adalah suatu yang diperlukan dalam hidup kita sebagai rencah dan penyeri kehidupan, namun bagi memelihara keharmonian hubungan sesama manusia perlulah memelihara batas-batas gurauan.
Sekiranya berlaku perkara atau gurau senda yang melucukan maka hendaklah ketawa sekadar tersenyum tanpa suara. Ketawa yang berdekah-dekah itu adalah daripada syaitan, dan boleh mematikan hati.
Bergurau lah dengan cara ringan tidak melampaui batas syarak, seperti pembohongan, penghinaan kepada golongan tertentu dan sebagainya.
Jauhilah daripada mereka-reka cerita atau mengada-adakan peristiwa supaya orang lain ketawa. Sabda Rasulullah s.a.w "
"ويل للذين يحدث بالحديث ليضحك به القوم فيكذب ويل له ويل له"
Maksudnya, "Binasalah mereka yang menceritakan cerita, supaya menusia ketawa dia pun berdusta. Neraka Wail lah untuknya, Neraka Wail lah untuknya" Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi, An-Nasaie dan Al-Baihaqi
Hendaklah berkata benar dan betul dalam bergurau. Elakkan dari berlebihan dan berterusan kerana ia akan menyebabkan hati menjadi keras dan menghilangkan rasa takut dan gerun kepada Allah.
Berhati-hatilah dalam bergurau kerana kalau tidak dikawal boleh menyakitkan hati rakan dan seterusnya membawa kepada permusuhan.

Ahad, 21 Jun 2009

KBM lagi ......


بسم الله الرحمن الرحيم

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan izin dan peluang yang diberikan maka telah sempurna satu lagi agenda pembangunan insan khusus untuk anak-anak buah yang dilaksanakan dengan jayanya oleh team KRJ Johor bermula 20 hingga 21 Jun. Modul KBM 2 yang julung-julung kalinya dilaksanakan. Jazakumullahu khairan kathira khusus buat team KRJ yang tidak pernah jemu menabur amal bakti, pastinya usaha kalian tidak akan dipersiakan Allah, serta dapat memetik hasilnya akan datang.


eh! sapa tu? orang KL pun turun? t.kasih t. kasih, datang lagi ye..

menghayati ni'mat yang hilang

ni buat apa ya... ooo teka kata ...

Antara kata-kata yang sempat diucapkan oleh anak-anak,

"cikgu, terima kasih buat program ni"

"cikgu, buat lah lagi, teruskan untuk adik-adik akan datang"

"terima kasih cikgu, doakan saya dapat 10 A1"

Tersenyum dibibir, di hati juga mendoakan moga Allah izinkan dan perkenankan.









Isnin, 15 Jun 2009

Sayang vs Marah


بسم الله الرحمن الرحيم

senario 1

Tok tok tok, kedengaran pintu bilik pejabatku diketuk.
"Assalamualaikum" dia
"Waalaikum salam" aku
"Masuklah" aku.
"Cikgu boleh saya jumpa?" dia.
"Boleh apa salahnya, jemputlah masuk" aku.
"Selamat hari guru cikgu, tapi saya minta maaf, saya tak
beli hadiah" dia
"Terima kasih, takpe, yang penting kamu ingat saya, itu sudah
cukup mengembirakan saya" aku.
"Cikgu, boleh saya peluk cikgu" lantas pelajar tadi memeluk
erat diriku
"cikgu, saya saayaang cikgu" dia
"Saya pun saayaang kamu" aku


senario 2

Suatu hari rumahku dikunjungi oleh dua lelaki yang berusia sekitar 50an. Salah seorangnya adalah bapa kepada seorang pelajar. Diantara dialog yang paling diingati.....

"Cikgu, kat belakang saya ni ramai makhlok yang cikgu tak nampak bila-bila masa je saya boleh arahkan mereka untuk buat apa saja pada cikgu" katanya.

Wow! berdiri bulu tengkuk, namun dalam masa yang sama keyakinan ku terhadap kuasa Allah tidak melemahkan semangatku.

Sepanjang perbualan yang dipenuhi dengan rasa marah dan tidak puas hati ku ladeni dengan berdiam diri dan senyuman dibibir., banyak membiarkan dia meluahkan perasaannya. Aku hanya lebih banyak mendengar. Nak jadi pendengar yang baik la katakan.

Diringkaskan cerita; di akhir pertemuan setelah beberapa tindakan diambil bersama, bapa tadi berkata padaku;

"Cikgu ada masa tak? jom kita pergi makan dan minum-minum sikit"
"Tak apa la encik, saya ada kerja yang perlu dibuat". aku
"Sekejap je cikgu, kalau tak sempat makan, minum pun tak apa" dia.
"Baiklah" aku
Kami pun terus menuju ke restoran berhampiran.
Sambil minum, bapa tadi berkata;
"Cikgu, saya minta maaf banyak-banyak atas perlakuan dan percakapan saya tadi" dia.
"Tak pe encik, saya tak berkecil hati, itu perkara biasa bagi saya, yang penting, masalah tadi dapat diselesaikan dengan baik, saya juga mohon maaf jika ada kesilapan dari pihak saya."

Akhirnya pertemuan hari itu berakhir dengan kelapangan dan ketenangan hati kedua-dua pihak tanpa ada rasa dendam dan terkilan.


Moral of the storey:

senario 1 :

Kasehilah anak-anak didik kita, sebenarnya mereka juga amat menyayangi kita. Untuk anak-anak, ucapkan kata-kata sayang kepada ibu ayah dan peluklah mereka. Janganlah lafaz itu hanya disimpan didalam hati. Kata-kata itu akan menjadi pengerat hubungan antara mereka, tak rugi kita menzahirkannya melalui kata-kata.

Teringat diantara ungkapan sebuah lagu nasyid yang berbunyi:
" Apakah yang hilang hilang andai dilisankan,
bait penghargaan penuh kejujuran tak mungkin terlihat cinta yang merona jika hanya renungan mata yang berbicara bukan atur kata."

Senario 2.
Sebenarnya tak rugi kalau kita mengalah dan berdiam diri dalam keadaan tertentu, di sebalik kesabaran dan ketenangan ada imbal balas dan hikmahnya. Syukur pada Mu ya Allah semuanya dengan pertolongan Mu. Engkau lah Yang melembutkan hati-hati hambaMu.

"Wahai Tuhan Yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agamamu dan dalam ketaatan kepadaMu"


Isnin, 8 Jun 2009

Cuti Dan Ziarah

بسم الله الرحمن الرحيم


Sedar tak sedar dah lebih seminggu tak buat entry, nak kata sibuk sangat tu tak lah juga, tapi bila dah travel tu maklum je lah ade je halangan mendatang, jadi terbantut nak menulis.

Alhamdulillah, perjalanan selama seminggu dari selatan ke timur dan terus ke utara akhirnya sampai juga kepenghujungnya di selatan. Sepanjang minggu itu lah percutian kami, mengukur jarak dari JB ke Pekan, sempat bermalam 2 malam di rumah ayah dan menghadiri majlis kahwin anak saudara di Kuantan, seterusnya hantar anak ke KL kemudian meneruskan perjalanan ke Damai Laut untuk bermalam di sana.
Keesokan harinya sempat menziarahi sahabat sepengajian suami sejak sekolah rendah hingga menengah atas di Manjung. Banyak benar cerita dahulu dan terkini yang dibicarakan, di wajah masing-masing jelas kelihatan kegembiraan dan keseronokan yang sukar untuk diukir dengan kata-kata.
Seusai pertemuan kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang masih jauh. Dalam perjalanan kami menerima sms dari adik perempuan kami "pakndak teringin nak makan kat Sri Anjung di Telok Kumbar, macamana nak pi dak" Suami terus menghubungi adik nya untuk mendapatkan kepastian. Setelah berbincang sedikit sebanyak kata putus dicapai.
Kami sampai di P.Pinang lebih awal daripada adik-adik, sementara menunggu mereka kami ke Seberang Jaya untuk ziarah bapa saudara di sana, Alhamdulillah dapat jumpa, dan memandangkan beliau ketika itu bersendirian sempat juga kami bawa beliau pergi "mengeteh" di kedai mamak.
Seterusnya kami bergerak meyeberangi Jambatan P.Pinang menuju ke Masjid Negeri sementara adik-adik dan keluarga mereka sampai.
Selepas Maghrib, kami semua bertemu di Restoran Sri Anjung milik anak kepada anak murid aruah bapa kami yang terletak di Teluk Kumbar. Apa lagi order je apa yang teringin ..... ikan siakap masak namprik, masak asam manis, kukus halia, tomyam, sotong goreng tepung dan lain-lain. Ada sorang tu teringin sangat nak makan mee udang perak, tapi tak jumpa kat perak maka orderlah mee udang Telok Kumbar ni, rasanya entah lah sama ke tak sama dengan yang kat Perak tu, apa pun rezeki mesti dihabiskan, no komen.
Lepas makan nak bayar, masya Allah cuma rm100.00 saja yang diambil. Rupanya ada cerita disebaliknya, kata tuan punya restoran tu, ayahnya pesan kalau anak-anak Pak Teh Man datang jangan ambil bayaran, tu anak-anak Tok Guru, berkat....Alhamdulillah moga murah rezeki.
Dah makan sedar tak sedar dah pukul 11 lebih, perjalan ke Alor Star perlu di teruskan? macamana ya.. badan dah terlalu letih perut dah kenyang, apa lagi mata minta dilayan. Cadangan dilontarkan kepada suami supaya menginap di Bagan je dulu esuk pagi baru ke Alor Star, suami setuju pulak tu, jadi kami pun meninjau cari penginapan. Alhamdulillah tak susah nak dapat lebih kurang aje lah yang penting rehatkan badan.
Berlalulah satu malam di P.Pinang, keesukan harinya sebelum meninggalkan bandar ini sempat juga melangkah kaki ke pasar Chowrasta beli lah jeruk-jeruk sikit untuk kawan-kawan di JB. Kemudian keluar dari pulau naik feri walaupun jambatan Pulau Pinang tak sibuk. On the way singgah pulak kat Bertam. ziarah abang sepupu yang tak berapa sihat lantaran masalah tulang belakangnya.
Dipendekkan cerita, lepas makan tengahari kami bertolak ke Alor Star, sempatlah juga satu malam di sana. Esoknya jam 10 pagi berangkat balek ke KL, jalan lengang dan lancar. Bermalam lagi satu malam kat KL bagi menghilangkan keletihan. Kesesokan harinya pula baru balek JB.
Pengajaran dan pengalaman dari perjalanan seminggu ni, membuatkan aku berfikir, alangkah bermaknanya percutian itu kalau diisi dengan ziarah dan sebagai nya antara sahabat, ahli keluarga dan adik-beradik. Melancong sambil beribadah.
Berbeza pula keadaannya kalau kita bercuti keluar negara ke atau tempat-tempat peranginan tertentu, jauh dari kenalan, sedara mara dan lain-lain, jumpa orang pun walaupun sesama melayu masing-masing buat hal sendiri je.


Ahad, 31 Mei 2009

Al-Qur'an Hua Syifa'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Kadang ketikanya ada masa-masa yang dirasakan hati tidak tentu arah, tidak tenang dan keluh kesah, Pada ketika itu mudah saja hati rasa sayu dan sedih dan boleh menangis sendirian, kenapa ya ? timbul berbagai persoalan dibenak rasa, banyak dosa? salah apa? dan macam-macam lagi. Alhamdulillah setakat ini masih ada rasa untuk bermuhasabah mencari di mana kekurangan diri.

Al-Qur'an adalah di antara penawar yang boleh menyembuhkan penyakit atau masalah seumpama ini. Merujuk Al-Qur'an beerti kita merujuk kepada tempat pendidikan Allah, kepada tali Allah yang kuat, kepada benteng yang kukuh dan kepada ubat penyembuh.


Firman Allah " Dan Kami turunkan dari Al-Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Qur'an itu tidak lah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian." Al-Isra':82

Firman Allah ; " Katakanlah Al-Qur'an adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman " Fushshilat : 44






Jumaat, 29 Mei 2009

Jom pakat-pakat gi kenduri sambil ziarah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Alhamdulillah dah sampai rumah petang tadi, wah ari ni jadi "mem" kat sebelah, member yang drive, kata nya kesian kat kakak yang tak larat. Sebenarnya dah sihat dah saja nak manja-manja. Entry kali ni sembang-sembang santai je, esuk pagi nak bertolak ke KL pulak, ada kenduri kahwin di Kajang sambil ziarah anak kesayangan tu. Pastu hari ahad bergegas kejar kenduri di JB pulak. Bila dibelek-belek kad jemputan amboi menjangkau 10 keping, itu tak termasuk yang jemput melalui e-mail dan sms pun ada, dekat nak buka sekolah lak tu, boleh sampai ke? Alhamdulillah itu semua tanda ingatan mereka pada kita, terima kasih semua.
Pertengahan cuti akan pulang ke Kuantan dah lama tak ziarah ayahanda, di sana pun ada jemputan kahwin. Mana yang sempat insya Allah akan sampai walaupun jauh.
Menghadiri kenduri kahwin ni sebenar banyak faedah dan peluang yang kita dapat, (selain daripada makan nasi minyak insya Allah) sebut macam tu sebab ada juga orang yang pergi kenduri kahwin tapi balek singgah makan kat kedai).
Jika jemputan tu dari saudara mara maka masa tu lah peluang untuk kita bertemu dengan sanak saudara kita yang lain yang dah lama tidak bersua. Kalau kawan-kawan tak kiralah kawan kerja atau kawan sekolah dulu-dulu pastinya kita akan berpeluang juga bertemu dengan rakan-rakan lama. Di situ lah kesempatan yang boleh kita ambil untuk menyambung silaturrahim yang telah lama sepi, dan yang paling pasti tuan rumah tentu gembira undangannya tidak dipersia. Kehadiran kita merupakan satu penghargaan buat tuan rumah. Mungkin itu juga antara hikmah mengapa Allah mewajibkan kita menghadiri jemputan kahwin selagimana majlis itu tidak berbaur dengan maksiat. Pembinaan "Masjid" tak doleh digabungkan dengan maksiat, takut nanti jauh dari berkat dan rahmat Allah.

Khamis, 28 Mei 2009

Ingat lah Lima Perkara .....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

"Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum datang masa sempit dan hidup sebelum mati." Dah biasa sangat dengan maksud hadis ini, tapi kadang-kadang alpa ... bila sakit baru ingat masa sihat....(masih boleh ikhtiar berubat) miskin selepas kaya ( masih boleh berusaha untuk mengembalikan kekayaan), masa sempit atau kesuntukan? barangkali masih boleh diselesaikan. Bagaimana pula dengan mati? boleh kembalikan kehidupan? bagaimana dengan tua? boleh kembalikan masa muda?



Kenapa kita diingatkan tentang lima perkara ini? Sesungguhnya ia bertujuan supaya kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia kerana kelima-lima perkara yang disebutkan itu memang lumrah dalam kehidupan manusia. Sekurang-kurangnya dengan persiapan yang ada akan dapat meminimumkan risiko. Ia juga bermaksud supaya kita sentiasa beringat-ingat untuk menyediakan bekalan dan sebagainya. Kalau dah sakit tentu kita rasa susah dan tidak selesa, semua yang dibuat rasa tak kena, bahkan orang keliling kita juga turut merasai tempiasnya.


Ingatlah bahawa kelima-lima perkara yang disebutkan adalah diantara ni'mat-ni'mat kurniaan Allah yang dipinjamkan sementara kepada hamba-hambaNya. Apabila antara ni'mat itu ditarik semula oleh Allah barulah kita terasa betapa berharganya ni'mat itu kepada kita. Disamping itu dengan penuh kesedaran dan keinsafan buatlah refleksi diri, bersabar, redha dan beristighfarlah moga diampunkan segala dosa.


Dengan kehendak Allah juga hari ini, hari pertama berkursus dah diuji dengan kesihatan yang tak berapa baik ... sebab tu tulis tajuk ni.. sebenarnya sebelum bertolak dari rumah semalam memang dah rasakan tanda-tandanya tapi masih berharap agar tidak berpanjangan. Namun usaha mesti dilakukan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius. Alhamdulillah petang tadi rakan seperjalanan dan sebilik dah bawa ke klinik, nampaknya balik nanti terpaksalah minta rakan tu drive.. terima kasih sahabat.

Rabu, 27 Mei 2009

Masa Berkualiti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Hari ini memulakan perjalanan dari JB ke Negeri Hang Tuah bagi memenuhi tuntutan kerja. Moga banyak manfaatnya dan bertambah pula ilmu dan pengalaman. Mungkin lebih menyeronokkan kerana dapat cuti awal 3 hari sebelum cuti sekolah. Sebenarnya bukan cuti cuma tak pergi sekolah je. Kerja tetap kerja.


Bercakap tentang kerja ni kalau nak fikir penat memang lah penat. Tapi kalau fikir penat memanjang memang lah akan membosankan. Jadi macamana nak bagi seronok dan enjoy dengan kerja? ha kenalah fikirkan yang seronok. Macam hari ni aku rasa seronok sebab boleh jalan-jalan makan angin kat Melaka ni, walau pun dah tahu gerenti tak sempat nak jalan-jalan.


Dalam perjalanan aku tak keseorangan, berdua dengan rakan, apa lagi tak berhenti bersembang dan bercerita hingga tak perasan dah sampai exit Ayer Keroh. Panjangnya jarak perjalanan itu merupakan peluang dan kesempatan yang boleh dimanfaatkan untuk mengeratkan hubungan antara sahabat, suami isteri, anak beranak dan sebagainya.
Sebenarnya kita perlu bijak untuk menjadikan masa kita itu benar-benar berkualiti jadi tak timbul lah soal tak cukup masa, tak berkesempatan dan seumpamanya. Percaya atau tidak bahawa orang yang paling sibuk itulah merupakan orang yang punya banyak masa. apa ? banyak masa ? bukankah masa yang Allah beri untuk semua orang itu sama 24 jam sehari semalam tidak kiralah di mana berada. Namun dengan kebijaksanaan yang ada seseorang boleh menjadikan masa 1 jam itu menjadi 24 jam atau lebih.. maksud nya 1 jam jangka masa boleh dijadikan seumpama 24 jam dari segi nilai dan kualiti. Masya Allah Dia Maha Adil lagi Sempurna.
Hargailah masa kita, yang datang tak dapat di elak yang pergi tak boleh diganti. Yang pasti semakin meningkat usia bererti semakin berkuranglah modal masa dan rezeki yang Allah beri pada kita.
"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh" (Al-Asr)

Isnin, 25 Mei 2009

Memberi dan Menerima

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Maksud Hadis Rasulullah s.aw, "tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah" yang bermaksud bahawa tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Sesungguhnya kebahagian dan kepuasan dalam diri itu adalah apabila kita dapat memberikan sesuatu kepada orang lain. Tidak kira lah apa jua bentuk pemberian itu, mungkin wang ringgit, harta benda, pertolongan atau memberi nasihat mahupun pandangan. Semua pemberian itu amat berharga bagi yang yang sangat memerlukan, namun berlainan pula keadaan nya bila memberi pada yang tidak memerlukan.
Sehubungan dengan soal memberi dan menerima ini, timbul pula persoalan atau sedikit keraguan bila berhadapan dengan situasi yang mengelirukan. Beberapa tahun kebelakangan ini tampat aku bekerja didatangi oleh dua lelaki cina muslim adik beradik, seorang buta dan seorang celik. Mereka datang bertujuan untuk mendapatkan bantuan wang bagi membiayai pembedahan mata salah seorang dari mereka. Jadi dengan rasa simpati dan ingin membantu sedaya yang boleh aku membenarkan mereka membuat kutipan sumbangan untuk pembiayaan pembedahan yang dimaksudkan. Pelik nya tahun berikut nya mereka datang lagi dengan alasan yang sama. Sekali lagi ku membenarkan dengan harapan dapat lah sedikit sebanyak menyumbang ke arah kebaikan. Lebih menghairankan lagi sehingga timbul berbagai persoalan apabila tahun berikut nya datang lagi dan kalau tak silap tahun ini dah tahun keempat. Keadaan mereka yang datang juga tetap sama dan tak nampak pun kesan pembedahan. Timbul berbagai persoalan yang bermain-main di kotak fikiran, betul kah masalah yang dihadapi oleh mereka atau sengaja mengambil kesempatan atas kekurangan yang ada, barangkali dana yang diharapkan masih tidak mencukupi, pujuk hati. Serba salah dibuatnya, nak benarkan atau tidak.
Berbalik kepada persoalan memberi dan menerima tadi, teringat pula pesanan Rasulullah s.a.w supaya tidak memandang hina kepada yang meminta sebaliknya beri lah jika ada dan diam atau beredarlah jika tidak mahu memberi.
Sebenarnya bila kita memberi atau bersedekah beerti kita telah menyediakan bekalan atau harta untuk dibawa ke akhirat. Itulah antara bekalan yang perlu kita usahakan disamping ibadat khusus. Memberi tidak akan mengurangkan harta kita sebalik nya akan ditambah oleh Allah dengan nilai yang berlipat ganda. Jadi memberilah dengan keikhlasan walaupun sedikit. Allah akan gembirakan hati kita bila kita mengembirakan hati orang lain.

Jumaat, 22 Mei 2009

Budaya Qur'an

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Alhamdulillah istimewanya Negeri Johor ni setiap pagi Jumaat ada "Budaya Al-Qur'an" iaitu majlis membaca AlQur'an dan terjemahannya. Budaya ini telah diaplikasikan bukan saja di institusi-institusi Pendidikan bahkah juga melebar hingga ke jabatan-jabatan. Masa yang diperuntukkan antara 30 hingga 40 minit mencukupi untuk mendidik dan membudayakankan diri dengan tilawatul Qur'an.
Program ini diwajibkan bertujuan untuk menjadikan bacaan al Qur'an sebagai satu budaya yang sering diamalkan oleh individu muslim. Bagi mereka yang jarang sangat baca sekurang-kurangnya setiap hari Jumaat mereka akan baca beramai-ramai. Lebih memberi faedah jika ayat-ayat yang dibaca itu diterjemahkan dan dihuraikan maksudnya supaya intipati dan pengajaran dapat dipelajari, difahami dan diteladani.
Barangkali ada di antara kita yang lupa bahawa Al-Qur'an yang merupakan Kalam Allah itu sangat besar kesannya dalam jiwa manusia. Al-Qur'an adalah Penawar, mampu melembutkan jiwa yang keras, menenangkan fikiran yang resah gelisah. Membaca Qur'an adalah Zikrullah, tidakkah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang?.
Alangkah baiknya jika program yang baik ini dicontohi dan diikuti oleh negeri-negeri lain. Moga menjadi realiti.

Khamis, 21 Mei 2009

Muhasabah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

Setiap insan sentiasa ingin menjadikan dirinya sempurna dan melakukan yang terbaik. Namun pernah kah atau sering kah kita menyorot kembali apa-apa yang telah kita lakukan samada menilai sesuatu projek yang kita rancang atau apa yang kita telah lakukan seawal celik mata disubuh hari hinggalah sebelum kita memejamkan mata di penghujung malam. Pernah kah kita meminta sesiapa yang hampir dengan kita memberikan sebarang komen atau penilaian tentang tindakan atau perlakuan atau percakapan kita. Terfikirkah kita untuk apa itu semua atau merasakan langsung tidak perlu. Kalau begitu untuk apa kita merancang, untuk apa kita rasa perlu melakukan yang terbaik.
Hari ini banyak sangat perkara yang dipelajari bilamana semua kerja-kerja yang telah dibuat akan dipantau, diselia dan dinilai. Sebelum ini memang dirasakan semuanya telah disediakan sebaik mungkin tapi di saat-saat akhir bila disemak rupanya banyak lagi perkara yang belum beres. Begitulah keadaannya bila kita rasa kita dah banyak buat dan jauh sekali untuk meminta orang lain menilai ... masya Allah ada lagi yang tak beres.
Senario ini membuatku berfikir bagaimana keadaannya ketika saat bertemu dengan Allah. Saat akhir yang tidak ada lagi peluang untuk membetulkan apatah lagi untuk melengkapkan mana-mana yang kurang. Konon rasanya dah buat yang terbaik, tapi rupa-rupanya banyak lagi yang kurang yang selama ini barang kali tak pernah dimuhasabah. Minta dimuhasabah jauh sekali, ego barangkali menguasai diri. Namun tidak dapat dinafikan bahawa kerisauan, kebimbangan, ketakutan bahkan macam-macam rasa yang tidak selesa menghantui diri. Itu baru penilaian dunia atas kerja-kerja dunia ...... bagaimana pula urusan akhirat yang mengaitkan segala ibadat dan hubungan kita dengan Allah.
Duhai diri, ingatlah kepanjangan usia itu suatu yang belum pasti tidak seperti kematian yang kehadiran pasti dan menepati. "setiap jiwa akan menemui mati" . Bersedia lah . Muhasabah lah diri kita, muhasabah lah kerja-kerja dunia kita mudah-mudahan kita dapat buat yang terbaik untuk dunia dan akhirat.

Rabu, 20 Mei 2009

Walimatul Urus

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Banyak pula kad jemputan kawin 'walimatul urus' yang diterima. Sedar tak sedar dah nak cuti sekolah rupanya, maka ramailah yang mengambil kesempatan cuti panjang ini untuk membina mahligai bahagia. Ada orang kata bina 'masjid', tak kiralah apa pun disebut ianya tetap ibadat , menambah ummat dengan cara yang syar'ie ..... masya Allah tersenyum para Malaikat dan menangislah para syaitan. Kenapa ya... pastilah mereka kehilangan satu jalan untuk merosakkan umat, hilang satu jalan untuk menjerumuskan manusia kepada noda dan dosa.
Untuk bina 'masjid' mestilah diasaskan dengan permulaan yang baik yang juga syar'ie barulah rumahtangga mendapat berkat. rahmah dan limpahan kasih sayang Allah. Buatlah persedian yang rapi dari segi ilmu pengetahuan, ekonomi dan seumpamanya supaya mampu menjadi ahli rumahtangga yang bertanggungjawab.
Perkongsian beberapa rangkap pantun yang dipetik dari buku Koleksi Pantun.
Bak kata ibunya....
Anak perempuan kami masih kecil,
Umur belum setahun jagung,
Darah belum setampuk pinang.
Kalu belukar, masih muda.
Perjalanan belum jauh,
Pemandangan belum ada,
Pendapatan belum tahu,
Mengikat tali belum pandai,
Menenun kain belum tahu,
Mengaji belum khatam,
Masak memasak baru belajar,
Bila menanak, kadang-kadang mentah,
Bila menggoreng, kadang-kadang hangus,
Bila menumbuk, kadang-kadang tidak lumat.

Isnin, 18 Mei 2009

Aku Guru ... Guru ku

Mulai 15 mei HP ku dihujani dengan ucapan Selamat Hari Guru yang dilukiskan dengan berbagai susunan kata-kata nan indah. Tak lagi seperti dulu dihujani dengan kad-kad ucapan... ya zaman dah berubah.. apa pun cara, Hari Guru dan ucapannya masih berterusan, tak cukup dengan ucapan-ucapan diiringi lagi dengan majlis khas untuk guru.
Hari ini pastinya banyak sekolah mahupun institusi Perguruan mengadakan majlis sambutan Hari Guru yang diserikan dengan berbagai aktiviti formal dan tidak formal.... siapa yang menguruskannya ? pastilah pelajar dan gurunya.
Warga sekolahku juga tidak ketinggalan untuk meraikan hari tersebut. Justeru beberapa aktiviti dilaksanakan di dalam mahupun di luar dewan. Ada sedikit perbezaan tahun ni, biasanya ada acara potong kek, kali ini potong "Pulut Kuning" pula, wah ! nampak menarik dan lebih menyelerakan oulut tu... nak tengok ? teruskan membaca dulu ya.
Acara di luar dewan juga meriah. Semua permainan melibatkan guru dan murid... mesranya.... seronok bermain persis anak-anak. Hilang stress.

....haaa ni la dia pulut kuningnya dilapis dengan rendang dan di atasnya ditabur serunding dan telur dadar.. sedapnya....

Guru adalah ( mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris.)

Guru sebagai mu'allim, ia mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat ini adalah satu usaha yang suci, murni dan mulia.

Guru sebagai murabbi, adalah guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik .

Guru sebagai muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab.

Guru sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar.
Wahai diri, jadilah mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid supaya nanti akan lahirnya generasi terunggul, generasi Al-Qur'an, mengembalikan sejarah silam demi kecemerlangan Islam.

Untuk menjadi guru yang memberangsangkan dari aspek :

1. Ilmu, hendaklah sentiasa meneliti dan melihat bagaimana ilmu boleh ditingkatkan dengan pembacaan dan penelitian, samada ilmu agama atau kemahiran diri. Luaskan pembacaan dan pilihlah bahan-bahan yang berguna.
Maksud firman Allah :"Allah akan mengangkat darjat orang yang berilmu pengetahuan diantara kamu dengan beberapa darjat"
Al-Mujadilah : 11

2. Rohaniah dan akhlak, perlulah bermuhasabah diri tentang keyakinan dan amalan serta hubungan dengan Allah. Begitu juga akhlak yang baik perlu sentiasa ditingkatkan, samada dengan pembacaan atau taubat dan menyesali segala kesalahan yang dilakukan dengan sengaja atau tidak.
Maksud Hadis Rasulullah s.a.w " Kebaikan itu ialah eluk budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam diri engkau dan engkau benci kalau ia (dosa) dilihat oleh manusia" riwayat Muslim.

3. Fizikal dan kemasyarakatan, perlu menjaga kesihatan agar sentiasa sihat dan cergas, kerana dengannya membolehkan diri melaksanakan tugas dengan cemerlang. Sifat meneliti diri demi untuk mencapai tahap yang lebih baik dalam semua kepakaran, apa lagi hubungan dengan Tuhan, adalah sifat yang amat penting. Dengan itu dia akan muncul sebagai guru yang utama. Maksud pepatah arab "Akal yang sihat bersama tubuh yang cergas"





Ahad, 17 Mei 2009

Kursus oh kursus ..

Alhamdulillah, semalam dapat hadir 2 program input yang amat bermenafaat, kursus 5S dan kursus pembikinan vedio clip. (5S) SEIRI, SEITON, SEISO, SEIKETSU & SHITSUKE ... yang membawa maksud sisih, susun, sapu, seragam & sentiasa amal. Kedua-kedua kursus ini amat praktikal.

Sebenarnya 5S tu dah lama diamalkan, mak ayah dulu-dulu lagi dah ajar, cuma kadang-kadang dek kerana terlalu banyak tumpukan masa pada kerja-kerja cari rezeki sampai tak sempat nak buat. Menakala kursus pembikinan vedio clip pula memenuhi hasrat hati, maka bolehlah ilmu tersebut di praktikkan dan digunakan untuk bahan mengajar. Hasilnya, hari ini dapat juga menyiapkan 90% vedio clip tu, Alhamdulillah seronok melihat hasilnya.

Kepuasan dan keseronokkan hati adalah bila kita berjaya menghasilkan sesuatu dengan titik peluh sendiri dan bila kita dapat membantu orang lain. Tapi dalam melaksanakan ibadat kepada Allah kita tak boleh berpuas hati, sebaliknya merasa takut amal tak sempurna dan tak diterima serta sentiasa meletakkan harapan yang tinggi supaya Allah terima ibadat kita.

Jumaat, 15 Mei 2009

Sayangi dan hormatilah ...

Dah lama tak hubungi ayah, apa khabar agaknya dia. Pada zaman peralatan komunikasi yang serba canggih ni pun masih wujud keterbatasan hubungan kekeluargaan. Sudahlah jarak yang jauh cukup membataskan pertemuan jika tidak dirapatkan dengan saling baerhubung antara satu dengan lain bimbang nanti akan menjarakkan tautan hati antara keluarga yang nantinya akan memudarkan perasaan kasih sayang ... maka hilang dan terus hilang .......

Bagi yang masih hidup dan boleh dihubungi masih boleh diperbaiki. Bagaimana pula dengan yang telah pergi untuk selamanya ....... turut terputus kasih sayang bila kering doa dari bibir. Tiada lagi kerinduan di hati, maka jadi lah yang di sana ternanti-nanti akan siraman doa-doa dari anak yang soleh.

Duhai anak-anak, sungguh besar jasa ibubapa mu, tak terbalas dengan seluruh kekayaan dunia. Hormati dan sayangilah mereka selagi hayat ada. Maksud surah Luqman ayat 14 "Dan Kami perintahkan kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibubapamu, hanya kepada Ku kamu kembali"

Khamis, 14 Mei 2009

Selamat Berkunjung

Alhamdulillah, berjaya juga diri ini memblog walaupun dalam keadaan terkial-kial dan tak tahu nak tulis apa.. almaklum baru bertatih lantaran didorong rasa tercabar dengan rakan-rakan dan anak-anak yang dah banyak menulis, nampak macam senang ...... tapi ... tengoklah nanti..


Moga Allah permudahkan dan dapat memberi manfaat kepada diri terutamanya.