Khamis, 19 November 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Sahsiah Pendidik Menurut Al-Ghazali.

Al-Ghazali menggunakan beberapa istilah bagi guru iaitu ’alim, mu’alim, mudarris, muaddib dan juga walid. Gelaran-gelaran ini menggambarkan fungsi dan skop tanggungjawab guru. Dalam kitab ”Minhajul ’Abidin” beliau menegaskan bahawa guru adalah pembuka jalan dan pemudah sesuatu yang rumit bagi murid-murid nya.

Ketika membicarakan kepentingan dan kedudukan pendidik, beliau membuat perbandingan / analogi orang berilmu seperti orang berharta dan mereka berada dalam mana-mana daripada empat kategori;

i) orang yang menyimpan harta atau ilmu dan tidak dimanfaatkan untuk sebarang kepentingan.
ii) Orang yang menghimpun harta atau ilmu sebanyak mungkin untuk menfaat diri sendiri sehingga tidak perlu meminta.
iii) Orang yang memiliki harta atau ilmu untuk dimanfaatkan oleh orang lain.
iv) Orang yang menghimpun harta atau ilmu untuk dirinya dan dibelanja atau disebarkan untuk orang lain.

Menurut beliau orang keempat ibarat matahari yang memancarkan sinarnya kepada makhluk lain dan dirinya tetap bersinar atau umpama kasturi yang wangi lagi mewangikan sekitar.