Selasa, 24 Ogos 2010

Kelebihan Ramadhan : Jangan Dilepaskan (1)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sedar tak sedar Ramadhan telahpun berada di pertengahan. Setakat ini bagaimana dengan azam yang telah ditanam sebelum ramadhan?

Bagaimana prestasi kita pada 1/2 ramadhan yang lepas.


  • Puasa

  • Solat tarawikh

  • Sedekah

  • Amal kebajikan

  • Munajat

Jika rasa masih belum berpuashati, masih ada masa untuk perbaiki, jika sudah maka teruskan dan pertingkatkan.


2. Ramadhan adalah bulan yang berkat, istimewa, bulan rahmah dan maghfirah. Antara kelebihan dan keistimewaan yang tidak boleh dilepaskan ialah;


1. Kelebihan pada segala amal kebajikan


"Tiap-tiap kebajikan yang dikerjakan oleh manusia akan dibalas 10 hingga 700 kali ganda, kecuali puasa yagn dikerjakan oleh hambaKu untukKu, maka Aku akan membalasnya" (riwayat Abu Hurairah)


2. Digandakan pahala


Ibadat wajib 70 kali ganda dan ibadt sunat sama seperti pahala ibadat wajib. Jadi, sempurnakan ibadat wajib dan banyakkan amalan sunat.


3. Nuzul Qur'an


Al Qur'an diturunkan dalam bulan ramadhan, dari Luh Mahfuz ke Baitil 'Atiq. Firman Allah yang bermaksud " Bulan ramadhan yang diturunkan padanya Al Qur'an sebagai hidayah kepada manusia dan sebagai penjelasan-penjelasan yng menerangkan

Khamis, 21 Januari 2010

Besarnya Keampunan Allah

Bismillahirrahmanirrahim..
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Allah Taala berfirman,
Wahai Bani Adam, sesungguhnya kalau engkau berdoa dan juga mengharap kepada-Ku, aku ampuni segala dosamu dan Aku tidak peduli berapapun banyaknya.
Wahai Bani Adam, seandainya dosamu menyentuh langit, kemudian engkau minta ampun kepada-Ku, maka Aku ampuni dosamu dan Aku tidak peduli berapa pun banyaknya.
Wahai Bani Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpai Aku dalam keadaan tidak menyengutukan Aku dengan sesuatu, maka Aku datangi engkau sepenuh bumi keampunan."

Selasa, 19 Januari 2010

KUALA GANDAH



بسم الله الرحمن الرحيم


Kuala Gandah, nama sebuah perkampungan yang tak pernah ku dengar walaupun aku dilahirkan di negeri di mana terletaknya perkampungan ini. Tidak menghairankan, kerana zaman kanak-kanak ku memang tak berpeluang langsung untuk berjalan-jalan makan angin, apatah lagi yang nama nya cuti. Cuti yang hanya difahami pada ketika itu hanyalah cuti sekolah, tak payah pergi sekolah dan seronok bermain dan meneroka rimba dan paya bersama kawan-kawan di sekitar kampung.

Kuala Gandah telah menempa nama sebagai salah sebuah pusat pelancungan lantaran keujudannya sebagai tempat pemeliharaan gajah-gajah yang jinak dan liar agaknya. Justeru itu terpanggil juga aku untuk ziarah ke sana.

Aku sekeluarga berkesempatan juga berkunjung ke sana dipenghujung cuti persekolahan baru-baru ini menutup tirai 2009 dan membuka jendela 2010 bersama gajah-gajah tersebut. Selebihnya biarlah gambar-gambar ini yang berbicara.

Anak gajah ni kudung kakinya nya akibat terkena jerat, terpaksa dipotong.

Anak gajah ni pulak baru berusia 6 tahun dan pintar, tahu mengikut arahan dan mesra bersama para pengunjung.

Teringin juga nak bermandi manda bersama gajah.


...alamak lupa pula nak bawa sabun....

Nak..nak..nak makan...nak lagi ......

....seronoknya mereka..mandi sakan.......

Last sekali sempat juga tunggang gajah, amboi tajam la bulu dia....

Akhirnya sesiapa yang ingin ziarah gajah-gajah tu, silakan lah, homestay pun ada kat situ...

Sekian catatan santai kali ni...





Khamis, 19 November 2009

بسم الله الرحمن الرحيم

Sahsiah Pendidik Menurut Al-Ghazali.

Al-Ghazali menggunakan beberapa istilah bagi guru iaitu ’alim, mu’alim, mudarris, muaddib dan juga walid. Gelaran-gelaran ini menggambarkan fungsi dan skop tanggungjawab guru. Dalam kitab ”Minhajul ’Abidin” beliau menegaskan bahawa guru adalah pembuka jalan dan pemudah sesuatu yang rumit bagi murid-murid nya.

Ketika membicarakan kepentingan dan kedudukan pendidik, beliau membuat perbandingan / analogi orang berilmu seperti orang berharta dan mereka berada dalam mana-mana daripada empat kategori;

i) orang yang menyimpan harta atau ilmu dan tidak dimanfaatkan untuk sebarang kepentingan.
ii) Orang yang menghimpun harta atau ilmu sebanyak mungkin untuk menfaat diri sendiri sehingga tidak perlu meminta.
iii) Orang yang memiliki harta atau ilmu untuk dimanfaatkan oleh orang lain.
iv) Orang yang menghimpun harta atau ilmu untuk dirinya dan dibelanja atau disebarkan untuk orang lain.

Menurut beliau orang keempat ibarat matahari yang memancarkan sinarnya kepada makhluk lain dan dirinya tetap bersinar atau umpama kasturi yang wangi lagi mewangikan sekitar.

Selasa, 13 Oktober 2009

بسم الله الرحمن الرحيم
Sudah lama tak menjengah ruangan ini apatah lagi untuk mencoret cabisan warna-warna kehidupan yang dilalui tak terlaksana, lemahnya diri. Alhamdulillah Allah izin masih menghirup ni'mat kurniaan Allah yang berbagai ini berbanding dengan saudara-saudara kita di merata tempat yang kurang bernasib baik di mana ada di antara ni'mat telah ditarik kembali oleh Allah.
Bencana di mana-mana adalah menjadi iktibar bagi kita yang tinggal, anggaplah kita yang masih ada ini diberi peluang oleh Allah untuk memohon keampunan, masih berpeluang untuk memperbaiki dan mempertingkatkan amalan menambah bekal di dunia sana. Sentiasalah mengingati bahawa setiap musibah yang berlaku adalah berpunca dari kesalahan dan kesilapan kita sendiri.

Selasa, 8 September 2009

Dijauhkan Dari Neraka

بسم الله اللرحمن الرحيم
Alhamdulillah, masa tetap berlalu tanpa curiga, mulai esuk masuklah ke lingkungan 10 hari terakhir Ramadhan. "I'tqu min an-naar" yang bermaksud dijauhkan dari neraka.
Bagaimana untuk menjauhkan diri dari neraka jika tidak beramal dengan amalan ahli syurga, bagaimana mungkin diri terhindar dari neraka jika tidak bertaubat, bagaimana mungkin tidak dicampak ke dalam neraka jika diri bergelumang dengan amalan ahli neraka.
أشهد أن لا اله الا الله أستغفر الله أسألك الجنه وأعوذ بك من النار
Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, ku mohon keampunanMu ya Allah, kumohon dariMu syurga dan aku berlindung dari neraka.
Selagi kesempatan masih ada, seringlah mengingati peringatan-peringatan yang Allah sangat menyayangi hamba-hambaNya.
Firmah Allah; Al-Haj : 49
"Katakanlah hai sekalian manusia, sesungguhnya Aku adalah Pemberi Peringatan yang terang bagi kamu"
Namun peringatan itu tidak akan berarti jika terus mengulangi kesalahan, hingga akhirnya dibiarkan oleh Allah dalam kesesatan, dan dibinasakan secara perlahan-lahan tanpa disedari.
Firman Allah; Al-Kahfi : 57-58.
"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya lalu dia berpaling daripadanya dan melupakan apa yang telah dikerjakan oleh kedua tangannya (yang berakibat buruk bagi mereka). Sesungguhnya Kami telah meletakkan tutupan di atas hati mereka (sehingga mereka tidak) memahaminya, dan (Kami letakkan pula) sumbatan di telinga mereka, dan walaupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya"
"Dan Tuhanmu lah Yang Maha Pengampun lagi mempunyai rahmat. Jika Dia mengazab mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan azab bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya".
Jangan ditunggu hingga kemungkinan matahati dan fikiran tertutup.
Firman Allah; Al-Hajj : 46
"Maka apakah mereka tidak berjalan di bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dapat mengerti atau telinga yang dapat mendengar? Maka sesungguhnya bukan pandangan mata yang buta, yang buta adalah hati yang di dalam dada".
أللهم انك عفو كريم تحب العفو فاعف عني

Rabu, 2 September 2009

Maghfirah Allah

بسم الله الرحمن الرحيم
Hari ini masuk hari ketiga daripada 10 hari dalam pertengahan Ramadhan. 10 hari untuk memohon keampunan Allah s.w.t. Mohon lah keampunan Allah tanpa rasa malu, tanpa rasa jemu, Allah sentiasa mendengar nya. Rebutlah peluang untuk membersihkan diri kita dari segala dosa, besar atau kecil, nyata atau rahsia.
Janganlah berputus asa dari rahmat Allah, rebutlah peluang selagi masih ada, selagi nafas terhela, selagi nadi berdenyut selagi ada keinsafan di hati.
"Katakanlah (wahai Muhammad) "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada mendapat rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa (kecuali dosa syirik seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nisa ayat 4). Sesungguhnya Dia lah jua yang amat mengampun lagi amat mengasehi.
(Az-Zumar:53)
"Takutlah kamu akan apa-apa yang di hadapan kamu dan apa-apa yang di belakang kamu, supaya kamu mendapat rahmat"
(Yaasin:45)
"Dan balik kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah diri kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab, kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan"
"Dan ikutlah al-qur'an (sebaik-baik panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut sedang kamu tidak menyadari"
(Az-Zumar:54-55)
Bertaubatlah sebelum kebinasaan menjengah, sebelum segala nikmat ditarik kembali hingga kita menjadi fakir di dunia dan di akhirat.
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami tarik mereka secara beransur-ansur kepada kebinasaan dan kehancuran dengan cara yang tidak mereka ketahui. Dan Aku berikan penguluran waktu bagi mereka. Sesungguhnya rencanaKu amat teguh"
(Al-A'raf:182-183)
"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun buka semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka. Kami siksa mereka dengan sekoyong-koyong , maka ketika itu mereka terdiam berputus asa"
(Al-An'am:44)
"Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepada kamu, maka tidak ada yang menghilangkkanya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada kamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"
"Dan Dialah yang Berkuasa atas sekelian hamba-hambaNya. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"
(Al-An'am:17-18)